22 December 2011

Cabaran Baru

Setelah lama tidak sempat berblog, akhirnya hari ini saya nak mulakan semula aktiviti yang dah lama ditinggalkan ni. Sejak bertukar ke Jabatan Imigresen Negeri Sembilan pada Mei 2011 yang lepas, terlalu banyak masa diperlukan dan menyebabkan beberapa perkara habit dan kesukaan terpaksa dilupakan...

Banyak masa diperlukan untuk belajar perkara baru. Persekitaran kerja di Jabatan Imigresen tidak sama dengan jabatan-jabatan yang pernah saya anggotai sebelum ini. Selain dari banyak isu dan istilah teknikal keimigresenan, banyak juga perkara (yang tidaklah baru) yang perlu saya lakukan sendiri.. Dahulunya saya hanya melihat bos-bos saya membuatnya, sekarang giliran saya pula.. Sememangnya banyak perkara yang perlu diberi perhatian dalam pengurusan kewangan jabatan dan pengurusan sumber manusia. Saya beruntung, sewaktu di INTAN, JPA dahulu banyak perkara telah saya lakukan kerana JPA banyak menjadi agensi peneraju dalam beberapa sistem yang digunakan dalam pentadbiran.

Sistem seperti GPIS, pengurusan perkhidmatan dan perjawatan sepenuhnya menggunakan HRMIS, tuntutan elaun perjalanan dan elaun lebih masa menggunakan HRMIS, sistem pengauditan sendiri dan banyak lagi.. Untungnya, saya dah merasa itu semua di INTAN dahulu dan kini hanya melaksanakannya, buat kesekian kali. yes.

Apa yang menarik juga, sewaktu di INTAN dahulu, saya banyak bercakap, dan sangat suka bercakap tentang Dasar-Dasar Kerajaan kepada penjawat awam, dan sering mengingatkan mereka agar menghayati dan mempraktikkan setiap dasar awam ke dalam jentera pentadbiran kerajaan, kini nampaknya saya pula perlu menyingsing lengan dan memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilihat terutamanya oleh rakyat. Memang mencabar, tetapi saya percaya ia boleh dibuat dengan jayanya.

Pertama sekali, saya perlukan kepercayaan dan sokongan daripada semua kakitangan saya, dan to make them believe is not a simple and easy job. Macam kita nak dakwah orang, bukan senang nak buatkan orang percaya bahawa tuhan itu wujud, dan perlu disembah dan ditaati oleh kita makhluk yang diciptaNya.. Saya percaya, masa memainkan peranan penting dalam mendapatkan kepercayaan dan sokongan yang sangat diperlukan ini. Untuk itu, saya juga perlu memberi kepercayaan dan sokongan kepada kakitangan, melalui pembahagian tugas yang jelas dan sistematik serta penurunan kuasa yang wajar untuk kelancaran tugas. Rata-rata kakitangan Jabatan Imigresen kesemuanya mempunyai pengalaman dan pengetahuan teknikal yang diperlukan, dan ia perlu digabung dengan idea amalan baik pengurusan untuk mendapatkan output yang terbaik.

Sekarang ini, pelbagai isu timbul yang melibatkan hal ehwal imigresen di negara ini. Sejak saya mula ditempatkan di jabatan ini, pelbagai agenda negara perlu dilaksanakan segera, umpamanya Pendaftaran Pekerja Asing Yang Sah (bermula 13 Julai 2011) dan Pendaftaran PATI (bermula 1 Ogos 2011) di bawah Program Pengurusan Pendatang Asing Secara Menyeluruh iaitu Program 6P. Sekali lihat, ia sememangnya tugas yang amat berat, tetapi percaya atau tidak, saya berjaya mendapatkan kerjasama kakitangan JIM yang berusaha keras siang dan malam, menjalankan kerja-kerja pendaftaran secara 24 jam di Negeri Sembilan. Sememangnya komitmen sebegini tidak pernah saya lihat di lain-lain jabatan, dan saya amat terharu.. Pihak pengurusan tertinggi KDN, sama ada YB Menteri dan YBhg. Tan Sri KSU sendiri juga sangat kuat memberi sokongan melalui pelbagai tindakan, usaha dan keprihatinan yang diberikan kepada semua kakitangan JIM. Lesson learned disini pada pendapat saya, tugas berat itu boleh diselesaikan JIKA semua pihak memainkan peranan masing-masing. Syukur alhamdulillah dan tahniah kepada semua, pihak atasan, pengurusan dan rakan sekerja lain yang tak pernah kenal penat dan lelah, 24 jam bekerja, ke kilang, ladang dan desa menjalankan kerja-kerja pendaftaran. Yang penting, pendaftaran dapat dilakukan tanpa menjejaskan ekonomi (pengusaha kilang dsb) apabila pendaftaran pekerja asing dibuat.

Selesai program Pendaftaran, situasi agak tenang.. dan peluang ini diambil untuk saya dan kakitangan bertenang.... Apabila arahan untuk menjalankan Operasi 6P, sekali lagi, komitmen yang tinggi ditunjukkan oleh bukan sahaja oleh kakitangan JIM Negeri Sembilan, tetapi juga oleh lain-lain jabatan seperti PDRM, RELA, Jabatan Pendaftaran dan juga JPAM. Percaya atau tidak, dalam beberapa bilangan operasi yang lepas, kesemua agensi KDN bekerjasama menjalankan operasi membanteras PATI. Syukur alhamdulillah kerana Allah SWT telah mempermudah kesemua urusan...

Baru-baru ini juga, kesemua kakitangan JIMNS telah bermesyuarat, melaksana perbincangan merangka strategi bagi 2012. Fokus utama perbincangan adalah bagaimana dapat kita membawa lebih daripada biasa, kesemua perkhidmatan imigresen ini terus kepada rakyat. Kini, sistem passport dah online. Sistem pengurusan pembantu rumah pun akan online, tetapi JIMNS perlu lebih lagi membawa sistem-sistem ini ke setiap daerah, ke organisasi lain (misalnya Lembaga Urusan Tabung Haji) di mana di Negeri Sembilan, melalui Program 1NS Wifi, Kerajaan Negeri Sembilan telah menyediakan infrastruktur wifi percuma kepada rakyat. Peluang ini perlu diambil agar rakyat akan dapat menerima lebih impak dari apa yang diusahakan kerajaan. Prosedur kerja dikaji, agar kelulusan dapat diberikan dengan lebih cepat, tanpa menjejaskan mutu kawalan keselamatan ke atas setiap perkhidmatan. Cuma apa yang dirisaukan adalah faktor manusia, di mana manusia ini mempunyai kelemahan, dan dikhuatiri faktor manusia ini boleh menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan jabatan, terutamanya di kaunter-kaunter yang berhubung terus dengan pelanggan. Semua Ketua Bahagian dan PIT diharap dapat membantu memantau dan membimbing para pegawai kita. Menangilah hati kakitangan, berikan dorongan dan nasihat dan bukan sekadar arahan semata. Carilah keseronokan dalam bekerja, tidak terlalu stress tetapi dalam masa yang sama produktiviti diutamakan. Buat para kakitangan, jagalah kebajikan mereka, dan selepas itu mereka akan menjaga kebajikan kita, inshaallah.

Kali ini saya menulis lebih kepada meluah apa yang dirasakan di dalam hati dan tidak menjurus kepada mana-mana topik. Lega rasanya. Entahlah, sememangnya kerja di Imigresen ini amat meletihkan, tetapi ia amat seronok terutamanya apabila perancangan kita menjadi dan apa yang dimahukan semakin tercapai. Cuma agak terkilan dengan sebilangan kecil manusia yang masih lagi mahu bermain api, menabur fitnah semata untuk melihat kebinasaan orang lain. Semoga tuhan melindungi anda jua wahai sebilangan kecil manusia. Janganlah kerana sebahagian kehendak kalian tidak dapat dipenuhi, kemahuan kalian tidak dituruti maka kalian mahu menjadi pemusnah.. Jangan menongkah arus kelak nanti memakan diri..

Pokoknya.. kita tidak boleh buat apa-apa tanpa sokongan dan bantuan orang lain, dan orang lain juga tidak boleh berbuat apa-apa tanpa bantuan kita, dan tanpa izin dariNya. Dapatkan sokongan dan berikan bantuan. Tanpa orang lain, siapalah kita. Dan inilah pegangan yang saya harapkan dapat diterap dan diterima oleh setiap kakitangan saya. Tanpa pelanggan, siapalah kita.. Tanpa rakyat, tiadalah negara......

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Cukuplah setakat ini dahulu, banyak lagi yang mahu ditulis tetapi nampaknya masa tidak mengizinkan. Dan, terima kasih semua, terima kasih!!! Enjoy

3 comments:

TheLee said...

Salam sahabat lama. Jangan lupa singgah di http://anjungfarha.blogspot.com

KHAIRIL ANUAR_1991 said...

salam tuan faizal aka abg pepo..
from AKAI 993

Anonymous said...

Assalamualaikum Tuan Faizal. Harap tuan dapat upload gambar Firdaus dari masa ke semasa. Rakyat prihatin Malaysia sedang mengikuti perkembangan adik Firdaus mudah-mudahan beliau segera sembuh.