22 December 2011

Cabaran Baru

Setelah lama tidak sempat berblog, akhirnya hari ini saya nak mulakan semula aktiviti yang dah lama ditinggalkan ni. Sejak bertukar ke Jabatan Imigresen Negeri Sembilan pada Mei 2011 yang lepas, terlalu banyak masa diperlukan dan menyebabkan beberapa perkara habit dan kesukaan terpaksa dilupakan...

Banyak masa diperlukan untuk belajar perkara baru. Persekitaran kerja di Jabatan Imigresen tidak sama dengan jabatan-jabatan yang pernah saya anggotai sebelum ini. Selain dari banyak isu dan istilah teknikal keimigresenan, banyak juga perkara (yang tidaklah baru) yang perlu saya lakukan sendiri.. Dahulunya saya hanya melihat bos-bos saya membuatnya, sekarang giliran saya pula.. Sememangnya banyak perkara yang perlu diberi perhatian dalam pengurusan kewangan jabatan dan pengurusan sumber manusia. Saya beruntung, sewaktu di INTAN, JPA dahulu banyak perkara telah saya lakukan kerana JPA banyak menjadi agensi peneraju dalam beberapa sistem yang digunakan dalam pentadbiran.

Sistem seperti GPIS, pengurusan perkhidmatan dan perjawatan sepenuhnya menggunakan HRMIS, tuntutan elaun perjalanan dan elaun lebih masa menggunakan HRMIS, sistem pengauditan sendiri dan banyak lagi.. Untungnya, saya dah merasa itu semua di INTAN dahulu dan kini hanya melaksanakannya, buat kesekian kali. yes.

Apa yang menarik juga, sewaktu di INTAN dahulu, saya banyak bercakap, dan sangat suka bercakap tentang Dasar-Dasar Kerajaan kepada penjawat awam, dan sering mengingatkan mereka agar menghayati dan mempraktikkan setiap dasar awam ke dalam jentera pentadbiran kerajaan, kini nampaknya saya pula perlu menyingsing lengan dan memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilihat terutamanya oleh rakyat. Memang mencabar, tetapi saya percaya ia boleh dibuat dengan jayanya.

Pertama sekali, saya perlukan kepercayaan dan sokongan daripada semua kakitangan saya, dan to make them believe is not a simple and easy job. Macam kita nak dakwah orang, bukan senang nak buatkan orang percaya bahawa tuhan itu wujud, dan perlu disembah dan ditaati oleh kita makhluk yang diciptaNya.. Saya percaya, masa memainkan peranan penting dalam mendapatkan kepercayaan dan sokongan yang sangat diperlukan ini. Untuk itu, saya juga perlu memberi kepercayaan dan sokongan kepada kakitangan, melalui pembahagian tugas yang jelas dan sistematik serta penurunan kuasa yang wajar untuk kelancaran tugas. Rata-rata kakitangan Jabatan Imigresen kesemuanya mempunyai pengalaman dan pengetahuan teknikal yang diperlukan, dan ia perlu digabung dengan idea amalan baik pengurusan untuk mendapatkan output yang terbaik.

Sekarang ini, pelbagai isu timbul yang melibatkan hal ehwal imigresen di negara ini. Sejak saya mula ditempatkan di jabatan ini, pelbagai agenda negara perlu dilaksanakan segera, umpamanya Pendaftaran Pekerja Asing Yang Sah (bermula 13 Julai 2011) dan Pendaftaran PATI (bermula 1 Ogos 2011) di bawah Program Pengurusan Pendatang Asing Secara Menyeluruh iaitu Program 6P. Sekali lihat, ia sememangnya tugas yang amat berat, tetapi percaya atau tidak, saya berjaya mendapatkan kerjasama kakitangan JIM yang berusaha keras siang dan malam, menjalankan kerja-kerja pendaftaran secara 24 jam di Negeri Sembilan. Sememangnya komitmen sebegini tidak pernah saya lihat di lain-lain jabatan, dan saya amat terharu.. Pihak pengurusan tertinggi KDN, sama ada YB Menteri dan YBhg. Tan Sri KSU sendiri juga sangat kuat memberi sokongan melalui pelbagai tindakan, usaha dan keprihatinan yang diberikan kepada semua kakitangan JIM. Lesson learned disini pada pendapat saya, tugas berat itu boleh diselesaikan JIKA semua pihak memainkan peranan masing-masing. Syukur alhamdulillah dan tahniah kepada semua, pihak atasan, pengurusan dan rakan sekerja lain yang tak pernah kenal penat dan lelah, 24 jam bekerja, ke kilang, ladang dan desa menjalankan kerja-kerja pendaftaran. Yang penting, pendaftaran dapat dilakukan tanpa menjejaskan ekonomi (pengusaha kilang dsb) apabila pendaftaran pekerja asing dibuat.

Selesai program Pendaftaran, situasi agak tenang.. dan peluang ini diambil untuk saya dan kakitangan bertenang.... Apabila arahan untuk menjalankan Operasi 6P, sekali lagi, komitmen yang tinggi ditunjukkan oleh bukan sahaja oleh kakitangan JIM Negeri Sembilan, tetapi juga oleh lain-lain jabatan seperti PDRM, RELA, Jabatan Pendaftaran dan juga JPAM. Percaya atau tidak, dalam beberapa bilangan operasi yang lepas, kesemua agensi KDN bekerjasama menjalankan operasi membanteras PATI. Syukur alhamdulillah kerana Allah SWT telah mempermudah kesemua urusan...

Baru-baru ini juga, kesemua kakitangan JIMNS telah bermesyuarat, melaksana perbincangan merangka strategi bagi 2012. Fokus utama perbincangan adalah bagaimana dapat kita membawa lebih daripada biasa, kesemua perkhidmatan imigresen ini terus kepada rakyat. Kini, sistem passport dah online. Sistem pengurusan pembantu rumah pun akan online, tetapi JIMNS perlu lebih lagi membawa sistem-sistem ini ke setiap daerah, ke organisasi lain (misalnya Lembaga Urusan Tabung Haji) di mana di Negeri Sembilan, melalui Program 1NS Wifi, Kerajaan Negeri Sembilan telah menyediakan infrastruktur wifi percuma kepada rakyat. Peluang ini perlu diambil agar rakyat akan dapat menerima lebih impak dari apa yang diusahakan kerajaan. Prosedur kerja dikaji, agar kelulusan dapat diberikan dengan lebih cepat, tanpa menjejaskan mutu kawalan keselamatan ke atas setiap perkhidmatan. Cuma apa yang dirisaukan adalah faktor manusia, di mana manusia ini mempunyai kelemahan, dan dikhuatiri faktor manusia ini boleh menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan jabatan, terutamanya di kaunter-kaunter yang berhubung terus dengan pelanggan. Semua Ketua Bahagian dan PIT diharap dapat membantu memantau dan membimbing para pegawai kita. Menangilah hati kakitangan, berikan dorongan dan nasihat dan bukan sekadar arahan semata. Carilah keseronokan dalam bekerja, tidak terlalu stress tetapi dalam masa yang sama produktiviti diutamakan. Buat para kakitangan, jagalah kebajikan mereka, dan selepas itu mereka akan menjaga kebajikan kita, inshaallah.

Kali ini saya menulis lebih kepada meluah apa yang dirasakan di dalam hati dan tidak menjurus kepada mana-mana topik. Lega rasanya. Entahlah, sememangnya kerja di Imigresen ini amat meletihkan, tetapi ia amat seronok terutamanya apabila perancangan kita menjadi dan apa yang dimahukan semakin tercapai. Cuma agak terkilan dengan sebilangan kecil manusia yang masih lagi mahu bermain api, menabur fitnah semata untuk melihat kebinasaan orang lain. Semoga tuhan melindungi anda jua wahai sebilangan kecil manusia. Janganlah kerana sebahagian kehendak kalian tidak dapat dipenuhi, kemahuan kalian tidak dituruti maka kalian mahu menjadi pemusnah.. Jangan menongkah arus kelak nanti memakan diri..

Pokoknya.. kita tidak boleh buat apa-apa tanpa sokongan dan bantuan orang lain, dan orang lain juga tidak boleh berbuat apa-apa tanpa bantuan kita, dan tanpa izin dariNya. Dapatkan sokongan dan berikan bantuan. Tanpa orang lain, siapalah kita. Dan inilah pegangan yang saya harapkan dapat diterap dan diterima oleh setiap kakitangan saya. Tanpa pelanggan, siapalah kita.. Tanpa rakyat, tiadalah negara......

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Cukuplah setakat ini dahulu, banyak lagi yang mahu ditulis tetapi nampaknya masa tidak mengizinkan. Dan, terima kasih semua, terima kasih!!! Enjoy

04 April 2010

Analisis Keperluan Latihan (TNA)

Sekadar berkongsi sedikit dari faizalfazri.blogspot.com.

Kali ini saya berhasrat berkongsi mengenai Analisis Keperluan Latihan (TNA) pula.. Entahlah, hasil dari pemerhatian selama ini saya dapati tidak ramai organisasi yang melaksanakan Analisis Keperluan Latihan (TNA) bagi membangunkan sumber manusia mereka. Perancangan pembangunan organisasi ini kebanyakannya hanyalah berdasarkan rasa dan perasaan, serta mungkin pendapat yang masih belum terbukti berhubung sesuatu isu permasalahan, dan sebagai jalan pintas, kursus dan latihan dianjurkan bagi mengatasi masalah! Mudahnya wang dibelanjakan begitu sahaja..

Kesnya mungkin begini, sebuah organisasi itu mempunyai masalah hubungan di antara kakitangan yang kurang akrab. Kakitangan sering bergaduh sesama sendiri, bermusuhan, panas baran dan kadangkala hampir juga berlaku kejadian pukul memukul di tempat kerja. Pengurusnya memerhatikan perkara ini, berasa risau dan akhirnya, beliau memutuskan untuk menganjurkan Kursus Pengukuhan Pasukan atau teambuilding sebagai percubaan bagi menyelesaikan masalah.

Alhamdulillah, apabila kursus berjalan di sebuah hotel nampaknya semua kakitangan memberi tindakbalas yang amat memberangsangkan. Semuanya melibatkan diri secara positif, dan pengurus berkenaan amat gembira. Tidak sia-sia sejumlah wang yang besar dibelanjakan kepada konsultan ternama bagi menganjurkan kursus berkenaan. Namun kegembiraan beliau tidak lama, apabila kembali ke tempat kerja, keadaan kakitangan nampaknya telah kembali menjadi seperti sediakala...

Akhirnya, beliau sekali lagi mendapatkan khidmat konsultan luar, cuma kali ini sedikit berbeza di mana konsultan kali ini mencadangkan agar Analisis Keperluan Latihan (TNA) dijalankan terlebih dahulu. Memandangkan keadaan agak serius, pengurus berkenaan dicadangkan agar melaksanakan TNA pada peringkat individu (agak melecehkan tetapi amat berkesan) dengan kaedah penilaian daripada penyelia dan juga subjek individu itu sendiri (self-assessment) dan keputusannya amatlah memeranjatkan....

98% daripada penilaian diri subjek individu melaporkan bahawa mereka mempunyai minat, pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, tetapi mempunyai masalah mengawal sikap kerana wujud tekanan dari persekitaran, dan ianya berkaitan dengan ruang pejabat yang sempit, perkakasan pejabat yang tidak mencukupi menyebabkan pekerja perlu berkongsi serta penyelenggaraan pejabat yang amat teruk dan tidak selesa dalam menjalankan pekerjaan seharian mereka. Barulah pengurus ini menyedari bahawa permasalahan organisasi beliau bukanlah isu yang berkaitan dengan latihan, tetapi lebih kepada isu logistik di pejabat beliau.

Ia boleh diselesaikan dengan cara menambahbaik persekitaran pejabat, dan latihan maksima pun mungkin tidak akan membawa kesan jika keadaan persekitaran tidak diperbaiki, kecualilah kakitangannya dibrain-wash, dan disetkan agar sedia menerima apa jua keadaan dengan tenang dan redha (seperti anggota tentera). Barulah timbul perasaan sesal kerana telah membelanjakan sejumlah wang tanpa ada penyelesaian sebenar kepada permsalahan beliau.

Disinilah sebenarnya TNA memainkan peranan dalam memberikan gambaran sebenar mengenai sesuatu isu dan permasalahan. Kita boleh mengenalpasti 'penyakit' sebenar dan terus memberi ubat yang benar-benar spesifik dalam menyembuhkan penyakit berkenaan. Lain pejabat, lain masalah, dan sudah pasti lain ubatnya..

TNA juga boleh dijadikan asas sebagai pembangunan modul latihan. Sebagai contoh, jika kita menghadapi sakit kepala, TNA umpama x-ray dan mesin cyclotron yang akan terus mengimbas apakah punca sebenar sakit kepala yang dirasai. Tanpa TNA, ia umpama pesakit ketumbuhan otak yang diberikan panadol bagi mengurangkan kesakitan tanpa menyembuhkan punca penyakit yang sebenar.

Sebagai contoh, sebuah pejabat mempunyai masalah dalam proses pelupusan fail dan pengendalian dokumen terperingkat (mendaftar dokumen terperingkat di dalam buku daftar rahsia). TNA tidak dijalankan dan bagi menyelesaikan masalah, konsultan dalam bidang pengurusan fail dipanggil bagi membantu. Latihan pun dijalankan selama 4 hari, tetapi nampaknya selepas latihan dijalankan ia seolah-olah kurang berkesan, mengapa ya?

Ia berpunca dari kecuaian pentadbir latihan yang tidak mengenalpasti keperluan sebenar latihan dan seterusnya menyebabkan beliau gagal membangunkan objektif modul latihan yang benar-benar tepat dan bersesuaian dengan kakitangan beliau. Konsultan yang berkenaan telah melatih pelatihnya dalam kesemua aspek pengurusan fail, termasuklah perkara yang sedia diketahui dan dikuasai, dan gagal memberi penekanan kepada aspek-aspek yang menjadi kelemahan pelatihnya. Sepatutnya, hanya topik pelupusan fail dan pengendalian dokumen terperingkat diberi penekanan dan latihtubi tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Konsultan tidak boleh disalahkan dalam hal ini, kerana beliau tidak diberitahu apakah fokus utama latihan, dan hanya dimaklumkan perlu memberi latihan dalam "pengurusan fail" sahaja. Topik yang cukup umum, mengelirukan dan menyebabkan kerugian dari segi masa dan kos. Jika konsultan diberi objektif sebelum latihan dijalankan (objektif latihan boleh dibangunkan selepas TNA dilaksanakan), sudah pasti tempoh latihan dapat dipendekkan dari 4 hari kepada 2 hari sahaja, dan penekanan khas diberikan kepada topik pelupusan dan pengendalian dokumen terperingkat.

Membazir, kan?

Asasnya, TNA boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu Analisis Peringkat Individu, Analisis Peringkat Jawatan dan Analisis Peringkat Organisasi. Kesemuanya mempunyai asas kriteria penilaian yang berbeza, helaian penilaian (assessment sheet) yang berbeza, kaedah penilaian yang berbeza tetapi akan memberi hasil laporan yang sama, iaitu sebarang kelemahan pada pengetahuan, kemahiran dan sikap subjek yang dikaji.

Saya pernah membantu sebuah agensi kerajaan dalam membangunkan analisis keperluan latihannya, semuanya dijalankan secara percuma atas dasar kepuasan diri dan ya, saya berjaya membantu jabatan berkenaan berjimat cermat kerana dengar-dengarnya, hasil dari kajian pasaran (quotation request) jika TNA dijalankan oleh konsultan luar, kosnya mencecah ratusan ribu ringgit malaysia.. alhamdulillah, ada juga sumbangan saya kepada rakyat dan negara.

TNA adalah suatu ilmu yang mudah, ringkas dan pelbagai. Pelbagai bermaksud ia boleh wujud dalam pelbagai bentuk, dan saya paling suka melaksanakan TNA berasaskan kompetensi kerana ia benar-benar menilai tahap penguasaan kemahiran, pengetahuan dan sikap kerja seseorang dalam menjalankan tugas seharian. Selain itu, ia lebih jelas dan amat praktikal untuk dilaksanakan dan banyak membantu pengendali TNA dalam membangunkan modul latihan yang bersesuaian (jika masalah yang berlaku adalah merupakan isu latihan, dan latihan benar-benar diperlukan).

Membuat Keputusan Berkesan

Salam semua. Setelah lama menyepi, nampaknya baru ada kelapangan nak menyambung semula blog yang dah lama 'ditinggalkan' ni.. kerja banyak dan tu semua tanggungjawab yang perlu didahulukan.

Mengenai tajuk "Membuat Keputusan Berkesan" ni, saya percaya ramai dan sememangnya amat ramai di kalangan kita yang membuat keputusan dalam kehidupan seharian, sama ada bagi tujuan peribadi (membeli-belah, merancang kewangan keluarga, merancang pelaburan dan sebagainya atau bagi tujuan rasmi yang melibatkan tugas sebagai penjawat awam (merancang kursus, memilih kontraktor, menentukan tugas kakitangan, menilai prestasi dan sebagainya).

Kita sebagai pegawai awam juga kebanyakannya mempunyai kelayakan akademik seperti diploma, ijazah sarjanamuda, sarjana dan mungkin peringkat kedoktoran. Apa yang menjadi persoalan adalah,meskipun kita mempunyai kelayakan akademik yang 'hebat', meskipun kita mempunyai pengalaman yang luas, adakah kita benar-benar membuat keputusan yang berkesan?

Tidak hairanlah jika kita ada kes 'kesilapan' yang melibatkan penjawat awam (boleh rujuk kursus-kursus yang dianjurkan Institut Integriti Malaysia) di mana pegawai meluluskan pembinaan hentian bas, tetapi jalan berkenaan bukanlah merupakan laluan bas. Pelik bukan? Tetapi inilah kenyataan apabila keputusan tidak dibuat dengan sebaik-baiknya.

Sebenarnya ramai di kalangan kita yang tidak benar-benar terdedah dengan kaedah membuat keputusan berkesan. Berbeza dengan penduduk di negara maju, teknik membuat keputusan berkesan telah diajar kepada penduduk mereka sejak di peringkat remaja lagi. Malah, dalam sesetengah kes yang kecil pun mereka sudah mempraktikkan kaedah menganalisis dan menggunakan pendekatan saintifik untuk membantu mereka menyelesai masalah dan membuat keputusan.Berbeza dengan kita yang biasanya membuat keputusan mengikut hati dan perasaan, ikut hati, mati, ikut rasa, binasa..

Sesetengahnya pula mungkin mengambil pendekatan 'musyawarah' atau bermesyuarat dalam membuat keputusan, dan sebenarnya mungkin ada sesetengah keputusan yang dibuat berkenaan sesuatu isu hanya perlu diputuskan oleh seorang pegawai sahaja. Apa guna bermesyuarat dengan seramai mungkin individu, tetapi cara memutusnya masih hanya menggunakan akal, hati dan perasaan semata-mata? Lebih baik ia diputuskan oleh seorang dua pegawai sahaja, tetapi pendekatannya adalah secara saintifik berdasarkan petunjuk-petunjuk kualitatif dan kuantitatif.

Asasnya, kita perlu tahu bagaimana hendak membuat keputusan, sama ada berseorangan, melibatkan beberapa orang sahaja ataupun melibatkan seramai yang mungkin individu berkaitan. Kita tidak mahu membazirkan masa kita yang dibayar gaji dengan wang rakyat dengan bermesyuarat semata-mata, atau membuat keputusan autokratik berdasarkan kehendak diri kita sahaja. Bolehlah kita menggunakan pendekatan model Vroom-Yetton-Jago dalam menentukan bagaimana keputusan dibuat, sama ada secara individu, dalam kumpulan kecil atau dalam kumpulan besar.

Setelah mengetahui bagaimana keputusan akan di buat, barulah kita mula menjalankan tindakan bagi mengenali, memahami, dan menyelesai sebarang isu yang timbul. Banyak kaedah yang boleh digunakan dan saya menyenaraikan analisis-analisis berkenaan untuk pengetahuan kita bersama.

1. Analisis Stakeholder (Mengenalpasti stakeholder bagi membolehkan keputusan di buat dengan sokongan tanpa ada tentangan)
2. Teknik Stepladder (Membolehkan semua pendapat diluahkan tanpa ada halangan dalaman seperti malu, segan, takut dan sebagainya)
3.Teknik 5 Why's (Digunakan oleh Ford Motors dalam memahami sesuatu isu dengan sebenar-benar pemahaman)
4. Kaedah brainstorming dan reverse brainstorming (membangunkan alternatif dan idea yang mungkin, tanpa mengira ia logik atau tidak, boleh diaplikasi ataupun tidak)
5. Teknik Charrette (membangun dan mengumpul alternatif dan idea yang mungkin)
6. Teknik Reframing Matrix (melihat alternatif dan idea dari perspektif yang berbeza)
7. Teknik Fan Concept (melihat alternatif dan idea dari perspektif yang berbeza)
8. Teknik Appreciative Inquiry (melihat alternatif dan idea dari perspektif yang berbeza)
9. Teknik Affinity Diagram (mengurus dan menyusun semula idea mentah agar lebih difahami dan sistematik, sebelum keputusan di buat)
10. Teknik Analisis Risiko (melakukan penilaian risiko ke atas alternatif/idea)
11. Teknik 6 Thinking Hats (melakukan kajian implikasi dari pelbagai sudut)
12. Analisis Impak (melakukan kajian implikasi dari pelbagai sudut)
13. Teknik Starbursting (membangunkan persoalan-persoalan ke atas alternatif dan idea bagi membantu membuat keputusan)
14. Teknik Force Field Analysis (menilai kelebihan dan kekurangan aalternatif dan idea yang diperolehi)
15. Teknik SWOT Analysis (menilai kelebihan dan kekurangan aalternatif dan idea yang diperolehi)
16. Teknik Plus-Minus Interesting (menilai kelebihan dan kekurangan alternatif dan idea yang diperolehi)
16. Teknik Analisis Kos vs Keuntungan (memilih dan membuat keputusan)
17. Teknik Grid Analysis (memilih dan membuat keputusan)
18. Teknik Paired Comparison Analysis (memilih dan membuat keputusan)
19. Teknik Decision Trees (memilih dan membuat keputusan)
20. Teknik Blindspot Analysis (menyemak semula keputusan yang dibuat bagi mengelakkan sebarang kesilapan, kecuaian atau kejadian 'terlepas pandang')

Sewaktu sesi perkongsian ilmu antara saya dan kakitangan sebuah universiti di Pantai Timur Malaysia, mereka memaklumkan sesetengah daripada 20 teknik di atas telah sedia mereka ketahui, terutamanya bagi analisis ringkas seperti SWOT, Brainstorming dan sebagainya. Tetapi apabila saya bercerita mengenai model Vroom-Yetton-Jago, tidak ramai yang mengetahuinya, dan mereka mengakui model berkenaan benar-benar membantu mereka dalam memulakan proses membuat keputusan. Dalam teknik membuat keputusan pula, teknik seperti Reframing Matrix, reverse brainstorming, paired comparison analysis dan blindspot analysis benar-benar banyak membantu mereka untuk memahami dan menganalisis masalah sebelum membuat keputusan.

Dan banyak lagi... insya allah bersambung lagi jika ada masa. Hehe

11 December 2009

Renungan Selepas Sesi Temuduga : Rakyat Malaysia, Sejarah Negara dan Dasar-Dasar Kerajaan

Bila menyebut tentang negara kita, Malaysia, bila membayangkan akan tanahair ini beserta rakyat dan masyarakatnya, bila mengenangkan semua tindakan yang telah dilakukan kerajaan untuk membangunkan rakyat, meremang bulu roma rasanya... bertuahnya Malaysia kerana kesemua rakyatnya dapat hidup senang lenang, jika kurang senang sekalipun, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan untuk membantu rakyat, cuma rakyat kadangkala alpa dan tidak mahu mengambil tahu... cukup menyedihkan.

Sedikit sebanyak perasaan sesal tidak dapat diketepikan, bilamana baru-baru ini saya terlibat dalam beberapa sesi temuduga untuk jawatan dengan syarat pengambilan menggunakan STPM/Diploma. Ramai juga yang memiliki ijazah sarjana muda, hadir temuduga dengan harapan. Saya boleh mengetahui perasaan mereka, sebabnya sewaktu saya hadir ke pusat temuduga, kesemua calon-calon ini sibuk membaca, bersedia untuk menjawab soalan yang mungkin bakal ditanyakan sehinggakan saya lalu berhampiran mereka pun tidak ditegur, senyum jauh sekali. Kasihan, mereka terlalu berkehendakan jawatan ini, tak apalah fikir saya.

Bila temuduga bermula, seorang demi seorang masuk, dan pelbagai soalan diajukan. Saya bukanlah mahu menyentuh mengenai prestasi temuduga mereka, tetapi apa yang menyedihkan, majoriti calon langsung tidak tahu mengenai negara mereka, Malaysia!

Seingat saya, langsung tak ada calon yang boleh menceritakan tentang dasar negara kita, serta sejarahnya sekali... jika ada yang ingat pun, sekadar ingat terhadap sesuatu dasar dalam bentuk hafalan, mereka gagal mengolah dasar berkenaan, mengaitkannya dengan sejarah, menyentuh mengenai masyarakat Malaysia yang berbilang kaum serta lebih teruk lagi, secara terang-terangan mereka mengakui tidak berminat terhadap sejarah negara dan dasar-dasarnya...

Sikap ambil mudah sebegini sebenarnya sudah sebati dalam diri kebanyakan calon temuduga yang saya temui. Mereka tidak proaktif, tidak mahu mengambil tahu keadaan sekeliling, tidak tahu perkembangan semasa, tidak mahu belajar sejarah sedangkan sejarah sebenarnya banyak mengajar kita, malas bertanya (terutamanya dalam hal-hal berkaitan tugas. Memanglah mereka belum bekerja lagi, tapi sekurang-kurangnya mereka boleh menyelidik terlebih dahulu tugasan-tugasan yang bakal dilakukan oleh jawatan berkenaan. Sekadar membaca di internet tidak mencukupi!)

Sama juga halnya dalam menjalankan kursus-kursus induksi umum, ramai penjawat awam yang diamanahkan untuk menjalankan dasar-dasar negara dan kerajaan, tidak tahu mengenai dasar-dasar yang diperkenalkan, tidak tahu strategi-strategi pelaksanaan dan sudah pasti untuk mengamalkannya dalam kerja seharian, jauh sekali.. Situasi sebegini sebenarnya jika dibiarkan, akan memberi kesan kepada negara kerana apa yang dirancangkan oleh kerajaan sukar untuk dicapai, hanya kerana penjawat awam (pelaksana) yang tidak berpengetahuan.

Pada pendapat saya, pentadbir sumber manusia di jabatan-jabatan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada perkara sebegini. Setelah menjalankan Analisis Keperluan Latihan (TNA) jabatan, mereka perlu membangunkan pelan latihan jabatan yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek teknikal kerja, pembangunan karekter dan sebagainya sahaja, tetapi turut memberi penekanan kepada aspek kenegaraan dan patriotisme. Kemudian barulah jabatan mengatur strategi pelaksanaan latihan melalui perancangan takwim dan jadual latihan tahunan... jika tidak dilakukan sebegini, maka kita sebagai penjawat awam akan gagal, gagal dalam membentuk penjawat awam yang berkemahiran, berdedikasi, berkarisma dan mempunyai semangat patriotik tinggi kepada negara mereka.

Penjawat awam perlu lebih peka kepada pemimpin negara, kerana kita adalah pelaksana dan pemimpin negara pula adalah pencorak kepada hala tuju negara. Sama juga halnya dengan kita sebagai pegawai peringkat bawahan dan pertengahan, kita mempunyai stakeholders yang perlu kita penuhi keperluan dan kehendak mereka. Jika tidak, kita adalah pegawai yang gagal. Gagal memenuhi keperluan yang disyaratkan oleh pegawai atasan, sebenarnya konsep sebegini tidak difahami oleh ramai kakitangan. Jika tahu pun, sesetengahnya beranggapan konsep sebegini lebih kepada 'membodek' boss dan pegawai atasan. Kita perlu ingat, kecemerlangan kerja kita bukanlah kerana mutu kerja semata-mata, ia turut merangkumi pelbagai perkara subjektif lain, dan yang paling utama adalah memenuhi dan mematuhi arahan pegawai atasan kita, bukannya mengingkari arahan mereka, memandang rendah kepada pegawai atasan, merasakan kita lebih pandai dari penyelia, tidak gembira dengan penyelia dan sebagainya.. dalam erti kata lain, to be a good leader, we must be a good follower....

29 November 2009

Kursus Pengucapan Awam

Herm.. bercerita tentang pengucapan awam, sebenarnya semua orang mampu dan boleh nak berucap. Masalah utama bila sebut sahaja tentang pengucapan awam, semua orang akan merasa gerun, takut, malu dan ada juga yang rasa tiada apa-apa, cuma kosong dan tidak yakin...

Sememangnya nak berucap di hadapan audien sentiasa dirasakan susah. Untuk memudahkan diri kita, senangnya kita anggap sahaja kita akan bercakap (atau berucap) seorang diri... bayangkan kita bercakap di hadapan tanpa ada audien dan saya percaya, kita boleh berucap.

Dalam menjalankan latihan, saya dah bertemu dengan ramai peserta kursus yang amat takut berucap. Percayalah, walau berkursus dengan saya selama 5 tahun sekalipun, atau berkursus dengan mana-mana trainer yang lain pun, jika individu berkenaan tidak dapat menerima hakikat bahawa dia perlu berucap dan yakin pada diri, maka, pengucapan awam berkenaan akan gagal, tak kisahlah berapa banyak pengetahuan dan kemahiran sama ada dari segi teori mahupun praktikaliti yang dimiliki.

Jadi, isu dalam pengucapan awam ini lebih kepada isu individu... perlu dibangunkan keyakinan terlebih dahulu, biasakan berucap/bercakap secara tidak formal dan bersahaja, dan perlahan-lahan kita sharpen our skill training, sedikit demi sedikit kita perkemas gaya penyampaian, isi ucapan, serta menambah perkara-perkara yang membolehkan ucapan kita nampak menarik, ringkas, padat dan mengagumkan.

Yang baik adalah berlatih, berlatih, dan berlatih... manakala yang terbaik adalah YAKIN kan diri, dan meyakinkan diri sendiri sebelum cuba meyakinkan orang lain. Nak jadi yakin? Hahaha.. Kalau saya, saya akan duduk di kaki lima dan cuba menjual beberapa ubat/minyak urut dan cuba mempengaruhi orang lain secara selamba.....

21 November 2009

Alhamdulillah!!

Yess.. akhirnya hari ni dapat juga setup laman blog, yang dah berbulan-bulan tertangguh... bukan tak mahu buat, tapi tak sempat, tak ada masa.... hehehe... perkataan "tak ada masa" ni cukup dibenci oleh penyokong, pendokong dan pengamal MLM yang fanatik.. nasib baiklah kiranya setakat ni masih belum terjerumus dalam MLM, harapnya berkekalan, amin.

Erm, menyebut tentang MLM..... situasi hari ini menyaksikan ramai kawan-kawan kita, rakan sepejabat kita, saudara-mara kita, yang menyertai MLM. Entahlah, kadang-kadang MLM ni nampak macam tak logik, jual kopi tapi boleh jadi kaya, boleh jadi jutawan. Masalahnya, kalau kita seorang sahaja jual kopi dalam Malaysia ni (macam saudagar gula Malaysia laa) mungkin la boleh jadi jutawan! tapi nampaknya pusing sana orang jual kopi juga, pusing sini jual kopi juga, hujung sana jual tupperware, hujung sini jual one-drop perfume... aktif betul. Apapun, nampaknya hasrat kerajaan dah tercapai untuk mewujudkan masyarakat yang berniaga, terutamanya bumiputera.

Dan di sebalik kehebatan MLM ni, ada juga kehebatan-kehebatan lain yang tidak diceritakan. Contohnya, kehebatan seorang rakan yang sungguh budiman, dan 'jutawan'. Kenapa saya katakan dia seorang yang budiman dan 'jutawan', kerana dia sanggup dan bermurah hati memberi wang kepada bank, dalam jumlah purata RM300 sebulan, tanpa mendapat apa-apa kecuali 10 unit penapis air.... dan yang bestnya, penapis air ni diletakkan begitu sahaja di bawah katil. Sebenarnya, tak lama dulu rakan saya ni berhasrat menjadi jutawan, tetapi nasib tak menyebelahi, tak ada rezeki..... yang ada hanya hutang kepada bank, dan keahlian dalam sebuah syarikat MLM.

Entahlah, sekarang ni makin ramai kakitangan kerajaan menyertai MLM. Kemudian, jual slip gaji buat pinjaman bank. Kononnya akan jadi jutawanlah, akan jadi kayalah... tapi ramai yang tak menjadi dari yang menjadi...

Sedikit nasihat, kalau betul2 nak kaya, buat loan Rm30000, kemudian pergi beli emas kat kedai, duk diam2, tak payah cari downline, dan tengok nanti dalam masa 5 tahun, berapa hasil bakal anda perolehi? Terdesak2, emas tu bleh juga jual.... hai...

Apapun, sebenarnya laman ini saya wujudkan untuk tujuan perkongsian ilmu sebenarnya. Bukan ilmu MLM, tapi ilmu mengenai latihan-latihan, ilmu-ilmu keduniaan mengenai pembangunan diri seorang insan.... sebenarnya, saya banyak mengajar, bersyarah dan memberi khidmat nasihat kepada rakan-rakan seperkhidmatan awam di pelbagai jabatan, masalahnya apabila tamat sahaja sesi syarahan, seolah-olah semuanya terputus dan tiada kesinambungan.

Inshaallah, di ruangan ini akan dapat kita terus berdiskusi, berbincang mengenai topik-topik yang tidak sempat kita bincangkan di dalam kelas dahulu. Semoga hasrat murni ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua, inshaallah.