11 December 2009

Renungan Selepas Sesi Temuduga : Rakyat Malaysia, Sejarah Negara dan Dasar-Dasar Kerajaan

Bila menyebut tentang negara kita, Malaysia, bila membayangkan akan tanahair ini beserta rakyat dan masyarakatnya, bila mengenangkan semua tindakan yang telah dilakukan kerajaan untuk membangunkan rakyat, meremang bulu roma rasanya... bertuahnya Malaysia kerana kesemua rakyatnya dapat hidup senang lenang, jika kurang senang sekalipun, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan untuk membantu rakyat, cuma rakyat kadangkala alpa dan tidak mahu mengambil tahu... cukup menyedihkan.

Sedikit sebanyak perasaan sesal tidak dapat diketepikan, bilamana baru-baru ini saya terlibat dalam beberapa sesi temuduga untuk jawatan dengan syarat pengambilan menggunakan STPM/Diploma. Ramai juga yang memiliki ijazah sarjana muda, hadir temuduga dengan harapan. Saya boleh mengetahui perasaan mereka, sebabnya sewaktu saya hadir ke pusat temuduga, kesemua calon-calon ini sibuk membaca, bersedia untuk menjawab soalan yang mungkin bakal ditanyakan sehinggakan saya lalu berhampiran mereka pun tidak ditegur, senyum jauh sekali. Kasihan, mereka terlalu berkehendakan jawatan ini, tak apalah fikir saya.

Bila temuduga bermula, seorang demi seorang masuk, dan pelbagai soalan diajukan. Saya bukanlah mahu menyentuh mengenai prestasi temuduga mereka, tetapi apa yang menyedihkan, majoriti calon langsung tidak tahu mengenai negara mereka, Malaysia!

Seingat saya, langsung tak ada calon yang boleh menceritakan tentang dasar negara kita, serta sejarahnya sekali... jika ada yang ingat pun, sekadar ingat terhadap sesuatu dasar dalam bentuk hafalan, mereka gagal mengolah dasar berkenaan, mengaitkannya dengan sejarah, menyentuh mengenai masyarakat Malaysia yang berbilang kaum serta lebih teruk lagi, secara terang-terangan mereka mengakui tidak berminat terhadap sejarah negara dan dasar-dasarnya...

Sikap ambil mudah sebegini sebenarnya sudah sebati dalam diri kebanyakan calon temuduga yang saya temui. Mereka tidak proaktif, tidak mahu mengambil tahu keadaan sekeliling, tidak tahu perkembangan semasa, tidak mahu belajar sejarah sedangkan sejarah sebenarnya banyak mengajar kita, malas bertanya (terutamanya dalam hal-hal berkaitan tugas. Memanglah mereka belum bekerja lagi, tapi sekurang-kurangnya mereka boleh menyelidik terlebih dahulu tugasan-tugasan yang bakal dilakukan oleh jawatan berkenaan. Sekadar membaca di internet tidak mencukupi!)

Sama juga halnya dalam menjalankan kursus-kursus induksi umum, ramai penjawat awam yang diamanahkan untuk menjalankan dasar-dasar negara dan kerajaan, tidak tahu mengenai dasar-dasar yang diperkenalkan, tidak tahu strategi-strategi pelaksanaan dan sudah pasti untuk mengamalkannya dalam kerja seharian, jauh sekali.. Situasi sebegini sebenarnya jika dibiarkan, akan memberi kesan kepada negara kerana apa yang dirancangkan oleh kerajaan sukar untuk dicapai, hanya kerana penjawat awam (pelaksana) yang tidak berpengetahuan.

Pada pendapat saya, pentadbir sumber manusia di jabatan-jabatan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada perkara sebegini. Setelah menjalankan Analisis Keperluan Latihan (TNA) jabatan, mereka perlu membangunkan pelan latihan jabatan yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek teknikal kerja, pembangunan karekter dan sebagainya sahaja, tetapi turut memberi penekanan kepada aspek kenegaraan dan patriotisme. Kemudian barulah jabatan mengatur strategi pelaksanaan latihan melalui perancangan takwim dan jadual latihan tahunan... jika tidak dilakukan sebegini, maka kita sebagai penjawat awam akan gagal, gagal dalam membentuk penjawat awam yang berkemahiran, berdedikasi, berkarisma dan mempunyai semangat patriotik tinggi kepada negara mereka.

Penjawat awam perlu lebih peka kepada pemimpin negara, kerana kita adalah pelaksana dan pemimpin negara pula adalah pencorak kepada hala tuju negara. Sama juga halnya dengan kita sebagai pegawai peringkat bawahan dan pertengahan, kita mempunyai stakeholders yang perlu kita penuhi keperluan dan kehendak mereka. Jika tidak, kita adalah pegawai yang gagal. Gagal memenuhi keperluan yang disyaratkan oleh pegawai atasan, sebenarnya konsep sebegini tidak difahami oleh ramai kakitangan. Jika tahu pun, sesetengahnya beranggapan konsep sebegini lebih kepada 'membodek' boss dan pegawai atasan. Kita perlu ingat, kecemerlangan kerja kita bukanlah kerana mutu kerja semata-mata, ia turut merangkumi pelbagai perkara subjektif lain, dan yang paling utama adalah memenuhi dan mematuhi arahan pegawai atasan kita, bukannya mengingkari arahan mereka, memandang rendah kepada pegawai atasan, merasakan kita lebih pandai dari penyelia, tidak gembira dengan penyelia dan sebagainya.. dalam erti kata lain, to be a good leader, we must be a good follower....

No comments: